Top banner 1

PERASMIAN RUMAH TRANSIT NEGERI KEDAH (RTNK)

KHAMIS 16 Januari 2020
KUBANG PASU - Sejumlah RM150,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri Kedah untuk tempoh setahun bagi melaksanakan serta mengendali Rumah Transit Negeri Kedah (RTNK) yang berperanan memberi perlindungan sementara kepada golongan berdepan masalah sosial antaranya gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan serta keganasan rumah tangga.
Fokus utama RTNK adalah memberi intervensi awal bagi kes-kes yang memerlukan pemulihan melalui pelbagai sektor, memudahkan bantuan dan perkhidmatan agensi kerajaan dilaksanakan secara berpusat serta membolehkan pemulihan dan perintegrasian semula golongan tersebut ke dalam masyarakat.
Sebanyak enam rumah teres setingkat di Taman Pulasan Jitra ini boleh menempatkan hingga 36 individu pada satu-satu masa.
Perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir, YAB Menteri. Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Wira Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pembasmi Kemiskinan, Halimaton Shaadiah Saad.
Sebuah jawatankuasa khas dikenali sebagai Jawatankuasa RTNK telah ditubuhkan bagi mengurus tadbir rumah tersebut secara tersusun. Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh beberapa individu terdiri daripada pegawai JKM, penghulu, ketua komuniti tempatan, polis, wakil hospital dan sukarelawan.

Kemaskini Terakhir : 17/02/2020 12:39:41